Sunday, April 13, 2014

Didik anak rajin menabung

Kata orang melentur buluh biar dari rebungnya. Dalam bab pengurusan kewangan, ibu bapa sepatutnya mendidik anak mengenai wang sejak daripada usia kecil lagi. Ia termasuk tabiat berjimat cermat dan menabung.

Percayalah jika sejak kecil anda sudah mendedahkan anak-anak tentang kepentingan menabung, tabiat tersebut akan sebati dalam diri mereka. Dalam usaha mendidik anak menghargai wang, ibu bapa perlu kreatif. Maklumlah kanak-kanak cepat berasa bosan jika dipaksa. Mereka perlukan sesuatu yang menarik dan menyeronokkan.
Mula-mula, anda mesti memperkenalkan kepada anak-anak apa itu wang. Kanak-kanak pada usia empat tahun ke atas sudah mula memahami apa itu wang. Beritahu mereka tentang kepentingan wang untuk membeli apa-apa barang dan pentingnya menyimpan wang sebagai tabungan.
Mungkin pemikiran kanak-kanak prasekolah masih belum dapat menggambarkan apa tujuan wang disimpan sebagai tabungan. Tetapi mereka menganggap tabiat menyimpan wang dalam tabung adalah sesuatu yang menyeronokkan.
Bunyi duit syiling yang berdenting tatkala dimasukkan ke dalam tabung dianggap satu permainan yang menarik. Tambah menarik apabila mereka berpeluang memilih sendiri jenis dan bentuk tabung yang pelbagai rupa. Jangan terkejut bila mereka asyik meminta duit syiling daripada anda semata-mata hendak memenuhkan tabung mereka.

No comments:

Post a Comment