Sunday, April 13, 2014

Jom Usrah!

Apa Itu Usrah?
Usrah merupakan perkataan Bahasa Arab yang bermaksud keluarga.
Dari segi istilah, usrah bermaksud perkumpulan kecil (biasanya 5 hingga 8 orang) yang dibentuk atas dasar persaudaraan untuk mendalami ilmu agama dan saling tolong menolong dalam pelbagai aspek kehidupan.
Usrah merupakan simbolik kepada institusi kekeluargaaan yang sebenar dimana interaksi di kalangan ahli kumpulan begitu akrab umpama adik-beradik kandung. Manakala fasilitator (digelar naqib bagi lelaki atau naqibah bagi perempuan) berperanan sebagai bapa atau ibu yang mengepalai keluarga bahagia tersebut.
Bila Usrah Mula Diperkenalkan?
Usrah mula dipopularkan oleh gerakan Ikhwanul Muslimin di Mesir di bawah pimpinan Imam Asy-Syahid Hassan Al-Banna pada tahun 1928. Beliau telah menulis sebuah risalah yang bertajuk “ Usrah dan Dakwah” antara lain menggariskan konsep asas, perlaksanaan serta aplikasi usrah.
Namun, tidak dinafikan sebelum itu juga terdapat banyak inisiatif dan pendekatan berkonsepkan usrah yang digunapakai oleh pelbagai gerakan Islam yang cuba melakukan pembaharuan terhadap Islam yang semakin terpinggir ketika itu. Malah jika diteliti secara lebih terperinci sirah Nabi Muhammad s.a.w, konsep usrah telah pun bermula ketika Nabi mengumpulkan golongan terawal yang memeluk Islam di rumah Al-Arqam Bin Abi Al-Arqam di Mekah bagi menyampaikan wahyu-wahyu yang diturunkan melalui perantaraan Jibril kepada baginda.
Kenapa Usrah Penting?
Pertama kerana ia adalah sunnah Rasulullah s.a.w seperti yang diterangkan di atas. Pastinya dengan melaksanakan sunnah kita akan diganjari dengan pahala yang bukan sedikit.
Kedua, usrah mampu melahirkan individu Muslim yang soleh dan solehah. Pelbagai ancaman luaran seperti fenomena murtad, syiah, budaya hiburan melampau (hedonisme),agenda Yahudi, fahaman kebebasan mutlak (liberalisme) dan banyak lagi hanya mampu dibendung oleh individu Muslim yang sempurna aqidahnya, benar ibadahnya serta cantik akhlaknya.
Ketiga, usrah menjana sendi-sendi kekuatan umat Islam seperti persaudaraan, kefahaman agama dan kekuatan teknologi. Lompong-lompong inilah yang menyaksikan umat Islam ditindas, dibantai dan dizalimi di seantero dunia tanpa pembelaan yang sewajarnya.
Bahkan banyak lagi kepentingan usrah yang lain jika kita perhalusi dengan lebih mendalam. Mudahnya, jika masa kita tidak diisi dengan agama, secara fitrah ia akan terisi dengan pelbagai anasir negatif yang merugikan.
Siapa Yang Boleh Menyertai Usrah?
Berbeza dengan situasi ketika mula-mula diperkenalkan, usrah kini boleh disertai oleh sesiapa sahaja yang berminat. Jika syarikat penerbangan tambang murah terkenal, Air Asiabegitu sinonim dengan slogan “Now Everyone Can Fly” (Kini Semua Orang Boleh Menaiki Kapal Terbang), mungkin kita perlu mempopularkan slogan yang serupa untuk menggalakkan orang ramai menyertai usrah iaitu “Kini Semua Orang Boleh Berusrah”!
Penggiat seni tanahair pun ada usrah yang dinamakan Usrah Fitrah. Kita bila lagi?
Di Mana Usrah Biasa Diadakan?
Dewasa ini, usrah telah diterima umum sebagai sebuah institusi berkredibiliti untuk membentuk individu Muslim dan telah dilaksanakan di pelbagai tempat. Ini termasuklah sekolah, institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta, masjid dan surau, pelbagai pejabat agensi kerajaan serta badan bukan kerajaan (NGO).
Pendek kata ia dijalankan di mana-mana sahaja. Yang menariknya, ketika ramai ahli Ikhwanul Muslimin dipenjarakan oleh rejim zalim Presiden Gamal Abdul Nasser di Mesir suatu ketika dahulu, usrah turut diadakan di dalam penjara!
Bagaimana Perlaksanaan Usrah?
Usrah lazimnya diadakan seminggu sekali, namun kekerapannya mungkin berbeza-beza mengikut kesesuaian dan persetujuan ahli kumpulan.
Biasanya ia dimulakan dengan bacaan Al-Quran, kemudian diikuti dengan pelbagai agenda lain antaranya tafsir Al-Quran, pengajaran hadis, sirah Nabi, perbincangan masalah feqah, berita dunia Islam, kajian buku serta penyelesaian masalah ahli.
Selain sesi perjumpaan berbentuk dalaman, aktiviti-aktiviti luar turut diadakan bagi memperkaya dan memperkukuh objektif perlaksaaan usrah. Antaranya termasuklahqiamullail (solat malam), berpuasa, sukan dan rekreasi, perkelahan, perkhemahan, konvoi menjelajah, aktiviti kemasyarakatan, seminar serta banyak lagi.
Jom Usrah!
Bersama kami dalam Pertubuhan IKRAM

No comments:

Post a Comment